Resepi Kek Carrot Mudah

Anak-anak suka makan kek carrot? Jom cuba resepi mudah ni. Tak perlu pakai oven dan mixer pun 🙂

Kek Carrot Mudah

Macam mana boleh terlintas nak buat kek carrot ni?

Kebetulan tengah hari tu ummi buatkan jus carrot kat anak-anak. Guna 2 biji carrot sahaja. Ummi tapis airnya dan simpan hampas carrot (lobak merah) dalam peti sejuk.

Lewat petang dah baru teringat nak buat kek carrot ni lepas dok fikir nak bagi bekal apa untuk si abang ke sekolah esoknya.

Sejak jadi ummi ni, selalu derhaka pada resepi asal (Buat Orang Lapo). Mana taknya, masa yang ada sangat mencemburui kita kan.

Dapat buat kek carrot (kek lobak merah) ni pun bila si abang dan kakak sanggup tolong jagakan dan main dengan adiknya. Tapi sekejap je diorang main. Tak lama sebab tup-tup dah siap, juga dengan ‘bantuan abang kakak’.

Abang 6 tahun tolong ummi kacau adunan kek. Kakak 4 tahun pula tolong ummi kacau buat topping (yang ni saja pakai mixer sebab dah pukul 7 malam, nak siap sedia untuk solat maghrib pula nanti)

Masak tak sampai 30 minit (sebelum azan maghrib). Jadi mudah untuk ummi letak syarat pemangkin. “Dah solat dan baca Quran nanti baru kita makan kek ya”.

Pertama sebab kek masih panas, yang kedua sebab lagi beberapa minit dah nak masuk waktu solat. Jika makan masa tu nanti diorang dah tak kisah nak baca Quran elok-elok.

Dan yang ketiga, nak ajar diorang ni sabar dan tahu bahawa ada sesetengah keinginan tu kita boleh tangguh sebentar untuk beri laluan pada hal yang lebih penting.

Yang keempat ni taktik ummi saja, untuk jadikan kek carrot ni sebagai ganjaran sesudah solat dan baca Quran (Diorang belajar guna buku Al-Furqan macam kat bawah ni)

Kenalkan anak kecil baca Quran dengan Buku Al-Furqan ni mudah sebab disusun ikut sebutan awal bayi dan kanak-kanak

Dah selesai baca Furqan, ganjaran kek carrot pun menanti.

Gambar kek carrot (kek lobak merah) di atas ni sahaja yang sempat diambil. Tak berapa cantik sebab bagi makan dengan sudu. Senang nak control. Tinggal pakat-pakat nganga mulut depan umminya saja.

Diorang makan macam tak mahu berhenti. Sedap sangat kata abang dan kakak.

Terpaksalah ummi hentikan sebab dah malam. Nanti aktif tak mahu tidur siapa yang susah kan? Dahlah abi outstation masa ni.

Inilah cara ummi urus anak-anak. Kawal pengambilan makanan manis sebelum tidur. Tak kisahlah sebelum diorang tidur tengahari atau malam.

Tangguhkan ‘ganjaran’ pada keesokan hari atau selepas anak-anak bangun dari tidur tengah hari.

Dah mukadimah panjang lebar ni, jom tengok resepi kek carrot mudah ni.

RESEPI KEK CARROT MUDAH

BAHAN-BAHAN KEK:

2 biji telur

1 cawan gula (ummi guna gula molasses)

1 setengah cawan hampas carrot (agak saja dari 2 biji carrot pun boleh)

1/2 cawan minyak masak

*Gaulkan sebati semua bahan di atas ini. Kemudian masukkan;

1 setengah cawan tepung gandum

1 sudu kecil soda bikarbonat

1 sudu kecil baking powder

1/2 sudu kecil garam

**Gaul sebati semuanya dan masukkan ke dalam periuk/pan bertutup.

***Masak di atas api perlahan selama 15-30 minit (bergantung kepada dapur masing-masing). Boleh tekan dengan garfu setelah 15 minit. Jika adunan tidak lekat pada garfu, bermaksud kek sudah masak.

Ummi guna ‘periuk ajaib’ je. Alihkan setelah 15 minit.

Nak guna oven pun boleh. Bakar suhu lebih kurang 175 darjah celcius selama lebih kurang 45 hingga 60 minit (juga bergantung pada oven)

****Dah sejuk bolehlah potong kek kepada dua untuk letak krim di tengah nanti.

BAHAN TOPPING

5 sudu besar Cream cheese

3 sudu besar susu pekat

*Pukul sebati sehingga likat seperti krim. Boleh sapu ditengah kek carrot dan letak sebagai topping kek carrot.

Mudah bukan? Selamat mencuba 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *